Contoh Promosi Produk Yang Sebenar Bantu Bisnes

Promosi adalah salah satu strategi pemasaran jangka pendek. Perniagaan menggunakan banyak strategi jangka pendek untuk menyedarkan dan merangsang permintaan pelanggan terhadap sesuatu produk atau servis berbanding apa yang ditawarkan oleh pesaing.

Apa Itu Promosi?

Promosi adalah salah satu aktiviti untuk menguar-uarkan produk atau servis yang ditawarkan, bertujuan untuk meningkatkan jualan bisnes.

Ada pelbagai jenis tawaran (offer) atau promosi yang kita boleh buat seperti “Beli 1 Percuma 1”, “Mata Ganjaran (Loyalty Points)” atau semudah memberi free shipping.

Ini adalah panduan lengkap tentang jenis promosi dan macam mana nak buat promosi yang akan membantu bisnes anda!

1 – Diskaun & Potongan 

Diskaun di pusat beli belah

Diskaun dan potongan adalah jenis promosi bisnes yang selalu kita nampak. Terdapat beberapa jenis diskaun dan potongan; yang pertama adalah diskaun secara peratus (%). Contohnya, bisnes kurangkan harga bayaran sebanyak 75%. Jadi, kita akan bayar 25% harga barang tersebut. Kalau harga barang RM100, diskaunnya adalah sebanyak RM75 ! Kita hanya perlu bayar RM25 saja. 

Potongan pula selalunya dalam bentuk potongan harga tetap. Selalunya bisnes akan letak tanda “RM5 off” atau “RM8 off”. Jadi, tak kira berapa pun harga produknya, akan ada potongan harga sebanyak RM5 atau RM8. Kalau harga produk RM30, kita hanya perlu bayar RM25 atau RM22 saja. Pelanggan suka diskaun! 

1.a. Macam mana nak tentukan berapa banyak diskaun atau potongan? 

Kita tak mahu beri diskaun sehingga bisnes tak untung betul? Jadi persoalannya erapa banyak diskaun atau potongan yang bisnes kita mampu tampung? 

Potongan dan diskaun tak sepatutnya melebihi keuntungan sesuatu produk atau servis. Contohnya kalau produk berharga RM8 dan dijual pada harga RM10, potongan dan diskaun tak boleh melebih RM2. 

Dan pastinya, tiada diskaun atau potongan harga yang tetap untuk semua bisnes. Kita perlu kira sendiri dengan produk atau servis kita. Tahu berapa angka-angka penting dalam bisnes anda.

1.b. Adakah efektif buat diskaun dan potongan? 

Promosi diskaun atau potongan harga tetap adalah promosi paling efektif, tak kira jualan online atau fizikal. Sejak azali lagi orang memang suka beli produk yang ada diskaun, ia membuatkan mereka rasa pembelian mereka berbaloi. 

Diskaun dan potongan harga lebih sesuai digunakan untuk prospek yang dah kenal kita, dah tahu kita jual apa, dah tahu produk kita selesaikan masalah. Diskaun kurang berguna jika orang tak kenal pun produk kita. 

2 – Buy More Free More & sewaktu dengannya 

Siapa tak suka barang percuma kan? Promosi ni biasanya bisnes buat untuk galakkan orang beli barang lebih dari apa yang mereka perlu. Asalnya kita nak beli 1 roti canai berharga RM1. Tapi, beli 3 roti canai dapat free 1 roti canai dengan harga RM3. 

Kita pun rasa diri kita adalah seorang pengguna bijak. Tapi hakikatnya, daripada kita asalnya nak spend RM1, tiba-tiba kita dah spend RM3. 

Nampak tak bagaimana dengan teknik ini kita dapat tingkatkan Average Order Value (AOV) bagi seorang pelanggan.

2.a. Cara tentukan produk untuk Buy More Free More

Cara terbaik untuk tentukan produk apa yang sesuai untuk promosi ini ada dua cara. Produk yang saling melengkapi (complementary products) atau produk yang memang digunakan dalam kuantiti banyak. 

2.a.i. Produk melengkapi

Maksud produk yang melengkapi adalah bila orang beli sesuatu produk ini, dia akan cari produk spesifik yang lain. 

Antara contohnya adalah bila kita beli kasut sekolah, selalunya kita akan dapat kapur kasut percuma. Beli pinggan dapat percuma sudu. Beli telefon dapat percuma casing. 

Ada juga segelintir pembeli yang sanggup beli untuk dapatkan produk yang percuma. Produk yang percuma itu juga aspek penting untuk menarik pelanggan melalui promosi ini. 

2.a.ii. Produk kuantiti tinggi

Produk kuantiti tinggi pula produk yang memang kita guna (atau makan) dalam jumlah yang banyak pada satu masa. Contoh paling senang adalah tisu. Tisu selalu diguna dan memang diperlukan (tambahan kita masih dalam endemik), jadi orang tak kisah beli tisu banyak. 

Bukan saja tak kisah, mungkin ada juga yang lebih suka beli banyak sekaligus dengan harga yang rendah. Jadi, promosi ini memang sesuai kita gunakan kalau produk yang dijual selalu digunakan. 

Contoh lain termasuk pelitup muka, sanitizer, makanan ruji seperti nasi dan biskut. 

2.b. Perlu buat dengan kerap atau tak?

Antara aspek yang kita boleh pertimbangkan sebelum buat promosi Buy More Get More ini adalah untuk apa kita buat promosi tersebut. Kalau tujuan utama nak buat promosi adalah untuk tarik prospek baru, Buy More Get More tidak sesuai. 

Hanya prospek yang ada brand loyalty akan tertarik dengan promosi Buy More Get More. Orang akan beli banyak produk jenama yang mereka dah pernah guna. 

Buy More Get More sesuai kita buat bila kita nak kosongkan ruang inventori untuk produk baru. Macam clearance sales. Jadi, perlu buat dengan kerap atau tak? Bergantung pada inventori bisnes anda. 

[INSERT_ELEMENTOR id=”31510″]

3 – Free shipping/ Free returns

Shipping antarabangsa.

Selain dari beri barang lebih kepada pelanggan, ada juga taktik promosi yang banyak bisnes gunakan iaitu penghantaran percuma. Pembeli sangat suka free shipping sebab mereka taknak bayar sampai RM8 hanya untuk delivery. 

Walaupun kita letak harga minimum RM20 baru dapat free shipping, masih ramai pelanggan yang sanggup belanjakan RM20 untuk produk berbanding belanjakan RM8 untuk delivery. 

Selain itu, apabila bisnes janjikan free returns, kita lebih yakin untuk beli. Bukan kerana buruk sangka pada bisnes, tapi untuk rasa lebih selamat, bila kita beli dengan bisnes yang menjanjikan free returns, walaupun barang yang sampai salah, kita boleh pulangkan tanpa perlu bayar apa-apa kos lain. 

Jangan bimbang tentang free return sebab kalau produk anda bagus, proses inventori dan penghantaran anda bagus, jumlah return tidak banyak pun sebenarnya.

3.a. Free Shipping atau Free Return lebih berbaloi? 

Kebanyakkan bisnes tak hantar produk sendiri dengan kurier sendiri. Kebanyakan bisnes menggunakan servis kurier luar. Jadi, isu seperti produk rosak, tidak sampai, hilang dan sebagainya, memang tak dapat dielakkan. 

Namun, untuk tentukan mana satu lebih berbaloi untuk bisnes bergantung pada bisnes itu sendiri. Prospek sukakan semua jenis promosi, tetapi, kos apa yang sanggup bisnes kita tanggung?

Adakah kita yakin kurier yang bisnes kita gunakan akan hantar produk dengan amanah? Jika ya, lebih baik untuk kita buat free shipping. Jika anda tak yakin dengan kurier, dan dah banyak isu dengan kurier, selain dari tukar kurier, anda boleh beri free returns sebagai promosi untuk tarik prospek beli produk anda. 

Promosi free shipping dan free returns berguna untuk prospek yang problem aware dan solution aware. 

Kalau anda buat bisnes online, jangan abai bahagian same day delivery kerana ada pelanggan yang nak barang sampai pada hari sama.

Caranya adalah dengan gunakan servis “24 hour delivery” dari Delyva.

Anda boleh semak harga & buat perbandingan dari 10+ jenis delivery di Malaysia dalam masa 60 saat.

3.b. Apa cara aplikasi Free Shipping? 

Macam semua promosi lain, pertama sekali kita perlu pastikan margin untung kita melebihi kos. Ada tiga cara untuk kita aplikasikan free shipping dalam bisnes. 

3.b.i. Bayar kos shipping dengan AOV

Cara pertama adalah bisnes anda perlu tanggung kos shipping sepenuhnya. Bisnes anda beri free shipping dengan harapan nilai purata pembelian produk anda melebihi kos shipping. 

3.b.ii. Letak had minimum belanja 

Ini antara strategi yang boleh tarik pelanggan. Dengan had minimum perbelanjaan yang kita letak itu, prospek akan belanja lebih dari yang mereka nak. 

Contoh; asalnya hanya nak beli buku berharga RM10, tapi belanja lebih RM15 baru dapat free shipping, jadi prospek akan beli lagi satu buku (sekarang jumlah belanja jadi RM20). 

Jadi, kos shipping tu ditanggung melalui keuntungan. Shipping RM5 dan kita ada untung RM8, jadi walau tolak kos shipping, masih ada untung RM3. 

3.b.iii. Tingkatkan harga produk

Dengan cara kita tingkatkan harga produk, secara tak langsung prospek memang dah bayar kos penghantaran bila beli produk. Jadi, memang tiada masalah untuk beri free shipping pada produk yang harganya kita naikkan untuk tanggung kos shipping. 

Tingkatkan harga produk adalah cara paling selamat untuk beri free shipping tanpa merugikan bisnes. 

4 – Loyalty points/ reward system 

Promosi dalam bentuk reward system ini pastikan pelanggan sentiasa beli di kedai kita. Ia meningkatkan kesetiaan pelanggan.

Antara contoh yang paling senang adalah kad AEON. Setiap kali kita membeli belah di AEON, kita akan dapat point, dan point itu kita boleh tukar kepada produk, dapat kupon dan sebagainya. 

Lain kedai, lain sistem ganjarannya. Ada kedai bubble tea yang guna reward sistem macam kumpul cop untuk dapatkan air percuma. Ada juga kedai gunting rambut yang guna sistem sama, 5 kali gunting rambut dapat 5 cop dan kali ke-6 gunting rambut secara percuma.

Royalty dan reward ni sesuai kalau kita pentingkan kesetiaan pelanggan. 

4.a. Apa tujuan promosi ini? 

Loyalty points dan reward system sangat sesuai untuk kita kekalkan pelanggan yang ada untuk masa yang lama. Bila ada pelanggan setia, revenue pun akan meningkat, dan kita sebagai bisnes juga ada peluang untuk kuatkan hubungan dengan pelanggan. 

Untuk tarik pelanggan baru, mungkin promosi ini tak berapa berkesan. 

4.b. Apa cara terbaik untuk buat promosi jenis ini?

Untuk kumpul point, pelanggan mesti ada matlamat. Untuk apa mereka kumpul point? Adakah boleh tebus point dalam bentuk duit, macam Shopee? Adakah dengan kumpul point boleh dapat hadiah istimewa? 

Pelanggan perlu ada motivasi (contohnya nak dapatkan produk edisi terhad) dan kumpul point mestilah sesuatu yang mudah bagi pelanggan. 

Selain itu, bisnes juga perlu mudahkan proses tebus point, barulah pelanggan suka kumpul dan tebus. Itu cara asas nak laksanakan promosi ini dengan baik.

Jangan sampai pelanggan terpaksa tunggu bertahun sampai hilang motivasi untuk kumpulkan point.

5 – Pemberian kupon atau baucar 

Kupon atau baucer

Kupon dan baucar ada beza yang jelas. Kupon diberi untuk orang yang spesifik (melalui emel atau akaun) dan boleh digunakan lebih beberapa kali oleh orang yang sama. Baucar pula adalah diskaun sekali bayar saja, dan kegunaannya bukan khas pada seseorang. 

Taktik promosi ini dari dulu lagi bisnes dah gunakan. Bezanya dulu kupon/baucar diberi atas kertas. Sekarang, secara online pun ada. Jimat kos dan kertas. Tetapi, fungsinya masih sama; ini promosi supaya pelanggan suka beli di kedai kita. 

5.a. Bila patut saya beri kupon/baucar?

Kupon/baucar sangat sesuai untuk tarik pelanggan dalam kalangan cold audience. Prospek baru yang tak pernah beli produk kita akan termotivasi untuk beli produk kita bila mereka dapat kupon/baucar percuma.

Jadi, kupon/baucar ini adalah alat motivasi untuk galakkan cold audience mengenali bisnes kita. 

5.b. Seberapa kerap patut saya beri kupon?

Kupon/baucar ada tarikh luput. Jadi, seberapa kerap untuk kita beri pada pelanggan itu bergantung pada berapa kerap kita nak menggesa pelanggan beli produk kita. 

Kupon/baucar selalunya diberi awal bulan dan tarikh luput dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan. Jadi, dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan tersebut prospek akan tertarik untuk guna kupon/baucar tersebut. 

Kupon/baucar akan tarik pelanggan baru dan tingkatkan sales. Juga boleh bantu kita dapatkan pelanggan baru yang setia. 

6 – Flash sales/ Private sales

Siapa yang selalu guna Shopee mesti perasan ada banyak flash sales dijalankan. Flash sales adalah promosi, offer atau sales yang hanya untuk masa terhad. 

Jadi, di Shopee, sales tarikh sama (1.1, 2.2, 3.3…) adalah sejenis flash sales. Kebanyakkan bisnes lain buat flash sales waktu akhir dan awal tahun. 

Berbeza dengan flash sales yang pentingkan masa, private sales pentingkan komuniti. Private sales adalah bila anda perlu masuk sebuah listing/group/ komuniti untuk dapat peluang membeli. 

Selalunya private sales sangat sesuai untuk launching produk baru atau jualan produk terhad. Kedua jenis sales ini mementingkan faktor “scarcity.” 

6.a. Mana lebih berkesan; flash sales atau private sales?

Flash sales atau private sales mampu bawa jualan lebih banyak? Keduanya berkesan untuk target pelanggan berbeza walaupun tujuan sama. Flash sales lebih berkesan untuk tingkatkan jualan dalam kalangan pelanggan warm. Private sales pula berkesan untuk pelanggan dari hot audience. 

Bisnes boleh menggesa warm audience dengan aspek masa, beli pada waktu tertentu akan dapat free shipping, dapat free gift, dapat diskaun. 

Selain itu kita boleh menggesa hot audience dengan kelebihan eksklusif private sales. Dapat beli produk baru tanpa perlu berebut dengan pelanggan lain. Lebih tenang beli produk kerana kumpulan pelanggan yang tertutup dan terhad. 

6.b. Buat berkala atau waktu tertentu?

Terpulang pada bisnes untuk buat berkala atau waktu tertentu. Salah satu tarikan flash sales dan private sales adalah faktor urgency dan scarcity, jadi, kalau faktor tersebut ada, bila-bila masa pun boleh buat promosi flash sales atau private sales. 

[INSERT_ELEMENTOR id=”31510″]

7 – Pertandingan & giveaways

Ramai orang keliru antara contest dan giveaway. Beza contest dan giveaway adalah usaha yang pelanggan lakukan untuk dapat produk secara percuma. 

Untuk pertandingan/contest, pelanggan perlu penuhi syarat dan ada sesi penilaian dari pihak yang menganjurkan pertandingan. Pertandingan ada pilihan pemenang mengikuti penilaian tertentu (like paling banyak, share paling banyak, komen paling menarik).

Manakala untuk giveaway pula, pemenang giveaway akan dipilih melalui konsep cabutan bertuah. Semua orang ada peluang yang sama untuk menang giveaway, tak kira dengan usaha lebih atau kurang. 

Pemenang giveaway tak dipilih melalui penilaian. Selalunya pemenang giveaway dipilih melalui generator online. Semua nama dimasukkan ke generator online dan nama rawak akan dipilih. 

Tapi keduanya adalah taktik promosi bagus untuk sebarkan awareness kepada prospek baru melalui prospek yang sedia ada. 

7.a. Produk apa yang sesuai untuk promosi ini?

Produk paling sesuai untuk promosi ini adalah produk yang pelanggan paling nak dari jenama kita. Selalunya produk dengan jualan tertinggi. 

Contohnya kedai kita jual baju tradisional, dan baju melayu cekak musang selalu habis stok, maka sesuai untuk buat pertandingan atau giveaways dengan baju melayu cekak musang tersebut sebagai hadiah. 

7.b. Mana lebih berkesan?

Keduanya berkesan, giveaways akan menarik pelanggan baru dan pertandingan boleh pastikan pelanggan yang ada akan menarik pelanggan baru. 

Syarat pertandingan yang selalu dibuat adalah ‘like’ paling banyak pada post akan menang. Pelanggan yang sedia ada akan galakkan orang sekeliling like post mereka, dan tingkatkan brand awareness secara tak langsung. 

Untuk giveaways juga sama, dan mungkin juga ada pelanggan baru yang tertarik untuk sertai giveaways sebab tak perlu usaha banyak untuk ada peluang menangi hadiah. 

8 – Promosi bertema 

Promosi Christmas

Promosi bertema ni banyak juga bisnes besar buat untuk tarik pelanggan dalam tema tertentu. Antara contoh promosi bertema ni macam Chinese New Year, Deepavali, Hari Raya. 

Promosi ni selalunya diadakan berkala ikut tema perayaan. Dan promosi ni juga memang dinantikan orang Malaysia, sebab Malaysia memang kaya dengan perayaan. 

Selain perayaan, ada juga tema macam Back To School yang mempromosi produk untuk pelajar ke sekolah. Ada bisnes lain pula buat tema cuti sekolah, terutama bisnes yang jual mainan kanak-kanak atau taman tema. 

Hari Kemerdekaan juga ada promosi yang lain, jadi bisnes kita boleh pertimbangkan juga untuk buat promosi bertema ni. 

8.a. Tema apa yang patut saya pilih?

Tema paling bagus untuk kita buat promosi adalah tema yang berkaitan dengan produk kita. Contohnya untuk produk seperti kuih atau jajan, sesuai untuk buat promosi hari raya, dimana orang nak makan kuih raya. 

Tak semua tema sesuai dengan produk yang kita jual. Contohnya jual produk alat tulis tak mungkin sesuai dengan tema Christmas. Jadi, boleh pilih tema bersesuaian macam tahun baru sempena kemasukan ke sekolah. 

Pilih tema bersesuaian dengan produk. 

8.b. Perlu buat semua tema atau tak?

Tak semua tema sesuai dengan produk yang kita jual. Jadi, sebagai bisnes, kita tak perlu paksa untuk buat promosi bertema yang tak sesuai dengan produk. 

Tema yang sesuai dengan produk boleh tingkatkan jualan, tetapi bila tema tak sesuai, ada risiko orang tak berminat untuk beli produk. 

9 – Multi-buy 

Konsep ini sering diamalkan di kedai-kedai makan. Paling mudah macam McDonald dan KFC. Bila kita pergi McDonald atau KFC takkan beli burger atau ayam saja tanpa air? Kita mesti akan beli satu set. Begitulah multi-buy. Walaupun boleh beli asing-asing, kita pilih untuk beli set. 

Boleh juga aplikasikan pada produk macam baju dengan seluar. Atau tudung dengan anak tudung. Atau kasut dengan stoking. Atau buku dengan pensil dan pen. Atau periuk dengan kuali dan senduk. 

Macam-macam lagi. Walaupun boleh beli satu barang secara asing, promosi ni akan galakkan orang untuk beli barang dalam bentuk set. 

9.a. Produk apa sesuai untuk promosi ini?

Antara produk yang sesuai untuk promosi ini selalunya produk yang sentiasa dicari. Makanan ruji, produk kebersihan, produk penjagaan kulit. 

Contohnya, set beras, roti, dan air mineral ada harga berbaloi. Set sabun, syampu dan ubat gigi ada harga tetap yang berbaloi. 

9.b. Promosi ini perlu berpanjangan atau sekejap?

Disebabkan promosi ini sesuai untuk produk yang sentiasa dicari dan digunakan, kemungkinannya produk ini ada tarikh luput yang dekat dengan tarikh pengeluaran. Jadi, elok untuk buat promosi ini untuk elakkan produk luput dan menyebabkan kerugian. 

Tak perlu buat berpanjangan, hanya buat setiap kali ada keperluan untuk elakkan produk luput dan nak bersihkan ruang inventori. 

10 – Free gift 

Yang terakhir ni jarang bisnes buat dalam skala besar tapi banyak bisnes baik hati yang buat. Promosi free gift ni adalah kita bermurah hati dengan pelanggan supaya pelanggan suka dan akan beli lagi dari kita. 

Contohnya kita belikan anak patung untuk anak, dan dapat free gift baju anak patung, mestilah anak kita suka dan kita pun percaya pada kedai tersebut. 

Bila ada kepercayaan pada brand, senang untuk kita beli lagi dan lagi. Promosi ni akan tingkatkan kesetiaan pelanggan kalau kita buat dengan betul. 

Lebih baik bila free gift yang diberi tu sesuai dengan produk yang dibeli. Misalnya beli hand sanitizer dapat free gift hand sanitizer holder yang comel. Budak dan wanita ramai yang minat. Begitulah teknik promosinya. 

10.a. Free gift apa patut saya beri?

Free gift yang terbaik adalah yang melengkapi pembelian pelanggan tersebut dan tak merugikan bisnes. Banyak cara untuk pilih free gift. 

10.a.i. Sesuai keperluan semasa 

Contoh keperluan semasa adalah beri free gift mask, sanitizer, air botol. Yang boleh digunakan sesuai dengan keadaan semasa. 

Percuma baju hujan pakai buang, beg beli belah mesra persekitaran dan sebagainya. Macam Buy One Free One, ada pelanggan yang beli produk demi dapat barang percuma. 

10.a.ii. Sesuai keperluan pembelian

Pelanggan beli seluar sebagai hadiah, boleh beri kad ucapan, beg kertas, kotak atau pembalut hadiah. Pelanggan beli pen banyak untuk kegunaan masuk universiti, boleh beri percuma kotak pensil. 

Penutup

Itulah antara jenis-jenis promosi & offer yang ada. Jadi, mana satu yang anda rasa sesuai dengan bisnes anda? Mana satu teknik promosi yang bisnes anda boleh tampung? 

Kalau nak tahu macam mana cara tepat untuk aplikasikan taktik promosi ni dengan lebih lanjut, jom join komuniti Monocal dimana kami akan update anda setiap kali ada artikel baru.

Anda juga boleh menghubungi Monocal untuk mendapatkan khidmat pemasaran digital yang terbukti berkesan. Kami sudah membantu banyak bisnes dalam pelbagai industri untuk meningkatkan jualan berganda-ganda.

Hubungi kami sekarang!

[INSERT_ELEMENTOR id=”31510″]
  1. […] Offer: Jika produk kita ada promosi beli satu percuma satu atau lain-lain, boleh juga kita masukkan dalam copywriting. Promosi boleh jadi faktor jualan yang besar, jom baca jenis-jenis promosi di sini. […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Monocal is an established digital marketing and brand agency helping DTC brands resonate with their customers, scaling up and stand out as industry leaders.

Monocal – Digital Marketing Agency
14-3F, Jalan Setia Perdana AY U13/AY, Setia Alam,
40170 Shah Alam,
Selangor