baju supreme

Kenapa Baju Supreme Cecah RM4,000 Sehelai?

T-shirt Supreme sebenarnya takde la mahal mana. $38 sahaja. Tapi ia boleh dijual semula 30 kali ganda ($1,140) daripada harga asal. Kenapa?

Disebabkan elemen scarcity.

Supreme ditubuhkan oleh James Jebbia di Lafayette Street, New York. Ia dijangka bernilai US$600 juta.

Supreme bermula sebagai kedai kecil dan tanpa modal yang banyak.

Jom lihat bagaimana Supreme boleh berkembang sehingga menjadi begitu dikenali hari ini.

Pertemuan Yang Tidak Disangka

Supreme pada asalnya cuma menjual tshirt yang dikhususkan kepada pemain skateboard dan pemuzik setempat sahaja.

Maka Supreme telah menghasilkan baju dengan tiga corak iaitu gambar pemain skateboard, gambar pemuzik jalanan dan logo minimalis Supreme.

Tanpa disangka-sangka baju kosong dengan logo minimalis Supreme laku keras. Sejak itu, logo ini telah diletakkan di setiap produk keluaran Supreme.

Lebih menarik lagi, Supreme telah menambah unsur anti-kapitalis dan anti-establish dalam logo mereka sehingga berjaya menarik minat anak-anak muda seluruh New York.

Secara tidak rasminya, Supreme menjadi produk yang melambangkan anti-kapitalis.

Cawangan Terhad

Kebiasaannya apabila syarikat semakin berkembang dan tidak mampu lagi menampung permintaan dari banyak kawasan, cawangan baru akan dibuka.

Pembukaan cawangan baru juga menandakan syarikat atau kedai itu akan semakin mudah diakses oleh pelanggan. Secara tidak langsung, kedai akan dikenali oleh ramai orang.

Tetapi Supreme cuba menongkah arus. Mereka hanya membuka satu kedai sahaja biarpun sudah 10 tahun bertapak.

Selepas itu, barulah kedai di cawangan lain turut dibuka tetapi dalam jumlah yang sangat sedikit. Sehingga ke hari ini, Supreme hanya memiliki 14 cawangan sahaja di seluruh dunia iaitu 4 di Amerika Syarikat, 6 di Jepun dan 1 di United Kingdom, Perancis, Itali dan Jerman.

Macam mana nak dapat barangan Supreme? Jawapannya adalah perli pergi ke mana-mana cawangan antara 14 cawangan yang ada atau beli di laman rasmi Supreme (dibuka pada waktu tertentu sahaja).

laman web supreme

Walaupun cawangan Supreme hanya sedikit, mereka masih mampu menjana banyak keuntungan dan pelanggan masih berpusu-pusu mencari jenama itu.

Hasilkan Produk Dalam Kuantiti Sangat Sedikit

Selalunya, syarikat ataupun peniaga akan menghasilkan produk dalam kuantiti besar bagi mengurangkan kos.

Tetapi Supreme mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk dalam kuantiti yang rendah. Ini bagi mewujudkan elemen scarcity. Supaya pelanggan berebut-rebut untuk mendapatkannya.

“…if we can sell 600, I make 400.”

James Jebbia, Pengasas Supreme.

Strategi ini sebenarnya muncul secara tidak sengaja kerana ketika awal penubuhan syarikat, Supreme tidak miliki sumber kewangan yang kukuh.

Selepas Supreme berjaya menjadi syarikat global, strategi ini masih digunakan dengan sedikit pengubahsuaian.

Supreme telah menambah sedikit pengeluaran dan mereka akan umumkan ura-ura mengenai produk lain pada setiap kali majlis pelancaran produk baru. (bagi mencipta hype)

Rata-rata produk Supreme habis terjual dalam tempoh tak sampai 15 saat!

supreme sold out

Mencipta Pelanggan Setia

Untuk membeli barangan daripada Supreme, pelanggan tidak boleh walk-in sebagai mana kedai lain.

Supreme telah menetapkan setiap pelanggan yang mahu membeli barangan di kedai mereka perlulah membuat permohonan temu janji secara atas talian.

Setelah permohonan diterima, pelanggan perlu menunggu respon daripada Supreme sama ada membenarkan atau tidak untuk hadir ke kedai.

Jika dibenarkan, Supreme akan memberikan pelanggan masa dan tarikh khusus untuk datang di kedai. Walau bagaimanapun, pelanggan masih perlu beratur sehingga 3 ke 4 jam di luar sebelum diberikan peluang untuk memasuki kedai.

Nampak agak renyah bukan? Tetapi jangan terkejut kerana Supreme akan menerima trafik yang tinggi sehingga menyebabkan permohanan terpaksa ditutup awal.

Senang cerita siapa, cepat dia dapat.

Kolaborasi Adalah Kunci

Antara jenama yang berkolaborasi Supreme adalah Everlast, Fender, Levi’s dan Nike.

Bukan itu sahaja, jenama makanan ringan seperti Oreo juga turut berkolaborasi dengan Supreme. Jangan terkejut, harga biskut Oreo yang miliki logo Supreme boleh mencecah ratusan ringgit dan mendapat permintaan tinggi. Bagi memastikan Supreme terus dikenali, mereka telah melancarkan produk hasil kerjasama dengan beberapa artis terkenal seperti Slayer, Justin Bieber dan Slipknot.

Secara tidak langsung, harga produk daripada Supreme akan semakin meningkat dan para artis akan memperolehi pendapatan tambahan hasil kerjasama ini.

Leave a comment